Pertubuhan Dakwah & Tarbiah
Darul Hasani Selangor
Diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad dengan sanad yang jayyid (baik) (menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu') atau sahih (menurut Syeikh Ahmad Syakir), bahawa ketika peperangan Badar, setiap 3 orang daripada tentera Islam terpaksa berkongsi binatang tunggangan secara bergilir-gilir termasuklah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Dua orang lain yang dipasangkan dengan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ialah Sayyiduna Ali Ibn Abi Talib dan Sayyiduna Abu Lubabah رضي الله عليهما.
Kedua-dua orang sahabat tersebut telah berkata: "Tunggangilah sahaja kenderaan ini wahai Rasulullah (tanpa perlu bergilir-gilir dengan kami). Biarlah kami berjalan kaki sahaja".
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: "Tidaklah kamu berdua lebih mampu berjalan kaki daripadaku (aku lebih berkemampuan) dan tidak juga aku lebih berasa cukup dengan pahala berbanding kamu berdua".
Maka bergilir-gilirlah mereka bertiga sepanjang perjalanan tersebut yang mana jarak antara Masjid Nabawi dengan medan pertempuran Badar ialah sejauh kira-kira 153 km!
Begitu juga ketika para sahabat menggali parit sebagai persiapan menghadapi musuh dalam peristiwa peperangan Khandaq / Ahzab, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sendiri menggali parit, mengangkat tanah dan batu bersama mereka. Dalam riwayat al-Bukhari, al-Bara' Ibn 'Azib رضي الله عنه mengatakan: "Dalam peperangan Khandaq, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah memindahkan tanah sehingga perut baginda berdebu".
Begitu juga dalam peristiwa Hajjatul Wada', setelah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم melakukan tawaf, baginda telah meminta air daripada orang-orang yang berkhidmat menyediakan air. Mereka mengatakan bahawa air ini adalah untuk orang awam. Mereka telah berhasrat untuk memberikan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم minuman yang khusus. Lalu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda mafhumnya: "Aku tidak berhajat kepada minuman itu. Berikan sahaja aku air yang diminum oleh orang ramai" (Dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad-nya dan Syeikh Ahmad Syakir menilai sanadnya sebagai sahih).
Begitulah sifat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Sentiasa tawadhu' dan tidak suka membezakan dirinya dengan orang lain. Tidak menggunakan keistimewaannya untuk kepentingan peribadi. Tidak cerewet. Tidak menyusahkan orang lain. Tidak, tidak dan tidak..
اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.