Pertubuhan Dakwah & Tarbiah

Darul Hasani Selangor

Jangan menghukum tanpa gambaran yang jelas

*TAUSIYAH TARBIYAH ILMIAH*


*Jangan Menghukum Tanpa Gambaran Yang Jelas*


Kaedah:
الحكم على الشيء فرع عن تصوره.


Maksudnya:


"Penentuan hukum atas sesuatu perkara, adalah satu cabang daripada gambaran tentangnya".
1. Kaedah ini bermaksud bahawa tasawwur atau gambaran yang jelas tentang sesuatu perkara, adalah asas dalam menentukan hukum. Manakala proses penentuan hukum sesuatu perkara tadi, adalah cabang kepada asas yang dinyatakan.
Dalam erti kata yang lain, proses penentuan hukum bagi sesuatu perkara, tidak dapat dilakukan atau dijatuhkan, selagimana gambaran yang jelas tentang perkara atau perbuatan atau peristiwa tertentu tidak diperolehi dengan benar dan tepat.


2. Al-Imam Al-Jurjani RA berkata: "Tasawwur ialah terhasilnya gambaran terhadap sesuatu pada aqal". Maka tasawwur/gambaran yang dikehendaki dalam kaedah ini ialah tasawwur ilmu (gambaran pengetahuan) yang mendalam tentang sesuatu. Oleh itu tidak boleh sesekali menjatuhkan hukum atas seseorang atau sesuatu perbuatan kecuali setelah mendapat tasawwur/gambaran yang jelas dan tepat dari sudut hal yang berlaku dan memahaminya dengan ilmu yang mendalam dalam perkara berkaitan.


3. Pada akhir zaman ini segelintir masyarakat dan juga sebahagian para ahli ilmu tidak mengambil berat dengan kaedah ini sehinggakan terdapat ahli ilmu yang menghukum satu-satu perbuatan atau seseorang dengan mudah dan lantang. Sumber dan rujukan mereka dalam berhukum serta gambaran masalah atau perkara yang berlaku hanyalah didapati melalui youtube, fb, wasap group, media massa dan lain-lain. Sesetengahnya tidak sedikitpun membuat tabayyun/memohon penjelasan dan tidak juga berpengetahuan dalam bidang menjatuhkan hukum.


4. Ingatlah apa yang disabdakan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW:


عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((... ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فلْيقلْ خيرًا، أو ليصمت)) وفي رواية لمسلم: ((أو ليسكت)).
Daripada Saidina Abu Hurairah RA berkata: Bersabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata perkara yang baik atau dia diam".
فإن المرء إذا أراد أن يتكلَّم عن حكم شيء فليُفكِّر قبلَ كلامِه، فإن عَلِم أنه يدرك هذا الشيء ويتصورُه على ما هو عليه فليَتكلَّمْ، وإن كان لا يعلمُ حقيقةَ هذا الشيء فليُمسِكْ عن الكلام؛ لأن السلامة في السكوت.


Maka jika seseorang itu ingin berbicara berkaitan dengan *hukum terhadap sesuatu* hendaklah dia berfikir terlebih dahulu sebelum dia bercakap. Maka sekiranya dia mengetahui bahawa dia faham perkara itu dan dia mendapat gambaran yang tepat tentang hal tersebut maka boleh dia bercakap. Dan sekiranya dia tidak mengetahui perkara yang sebenar maka hendaklah dia berdiam diri dari berkata-kata ini kerana keselamatan berada pada diam/tidak berbicara pada perkara yang tidak diketahui dengan jelas dan tepat.


5. Oleh itu orang awam dan begitu juga ahli ilmu perlu dan berhati-hati dalam menjaga adab dan kaedah berhukum agar tidak terjerumus dalam menjatuhkan hukum secara membuta tuli, gopoh dan yang paling nyata bagi ahli ilmu ialah tidak amanah terhadap ilmu serta membawa fitnah kepada Islam. Dengan ini para ulamak memberi peringatan kepada mufti atau hakim mengambil kira dua perkara sebelum berhukum:


i. Faham tentang waqi' iaitu suatu yang berlaku secara jelas dan tepat.
ii. Faham tentang hukum dan sumber hukum terhadap apa yang berlaku.
Fahamilah peristiwa ini.


وسئل الإمام الشافعي رحمه الله عن مسألة فسكت. فقيل: ألا تجيب؟ فقال: "حتى أدري الفضل في سكوتي، أو في الجواب".


Maksudnya:
"Ditanya kepada Al-Imam As-Syafie tentang satu masalah lalu beliau diam. Lalu ditanya: Kenapa engkau tidak menjawab? Maka Al-Imam berkata: (Aku berfikir) sehingga aku faham apakah kelebihan pada aku berdiam diri atau aku menjawab".


6. Kesimpulan terhadap kaedah yang penting ini ialah:


تظهر أهمية هذه القاعدة في أن صحة الحكم على أي شيء؛ من واقعة، أو مسألة، أو نازلة، أو قضية، أو الإجابة عن أي سؤال - لا تكون إلا بعد أن يتصوَّرَ الإنسان الشيء المسؤول عنه تصورًا صحيحًا كاملاً، ويَفهَمَ حقيقتَه ومعناه فهمًا دقيقًا؛ ليتمكَّنَ من الحكم عليه؛ لأن الحكم على الشيء بالنفي أو الإثبات فرع عن تصوره.


Maksudnya:
"Cukup terserlah kepentingan kaedah ini pada menyatakan kesahihan hukum yang ditetapkan terhadap sesuatu atau perkara yang berlaku atau satu masalah atau perkara semasa yang terjadi atau menjawab apa sahaja persoalan tidak sah (hukum) kecuali seorang itu mendapat berkaitan suatu yang diminta/ditanya, (mendapat) gambaran yang benar lagi sempurna/tepat dan memahaminya hakikatnya dengan kefahaman yang mendalam, untuk menetapkan hukum ke atasnya. Ini kerana menjatuhkan hukum atas sesuatu samada menafikan atau menetapkan merupakan cabang daripada gambaran tentang sesuatu".


Maka fahamilah kesimpulan terakhir iaitu:
فصحة الحكم تتوقف على صحة التصور.


Maksudnya:
*Sahnya satu-satu hukum terletak pada kesahihan gambaran (yang benar dan tepat tentang sesuatu)"*
Semoga bermanfaat.


Disediakan dalam serba kekurangan oleh:


Al-Faqir Nik Bakri Nik Mat

Pengerusi LT DUPNS